71. Diburu Manusia Iblis

** Sumbangan dari ahli komunitisbdj Heysanto


Saya gembira dengan berita itu. Secara tidak langsung perkara yang disebutkan oleh Lebai Din itu menguatkan kata-kata yang saya ucapkan pada datuk sebentar tadi.

“Kalau macam tu, tak salahlah apa yang dikatakan cucu saya tadi, dia nampak orang tu,” datuk segera menjeling ke arah saya. Lebai Din terus tersenyum.

“Saya tak nampak, tapi bau yang dibawa angin meyakinkan saya orang tu ada di tanah kubur,” Lebai Din terus melangkah.

GUGUR

Dedaun getah tua terus berguguran dirempuh angin. Walaupun angin bertiup tetapi baju kami basah juga diresapi peluh. Panas terlalu terik. Kami terus berjalan di celah-celah nirai getah yang tua.

Sambil berjalan itu, mata saya tetap liar merenung ke arah dedahan getah yang digayuti oleh monyet-monyet liar. Monyet-monyet itu memulas dan menggigit buah getah yang berwarna hijau. Buah-buah getah yang dibuang oleh monyet tersebut bersepah-sepah di mana-mana.

Bila sampai di rumah Haji Salim, Lebai Din terus jumpa isteri Haji Salim. Ia meninggalkan rumah tersebut. Datuk pula menemui isteri Haji Salim bertanyakan kalau-kalau isteri arwah memerlukan apa-apa pertolongan darinya.

Masa datuk bercakap-cakap itu, sebuah teksi masuk ke kawasan rumah Haji Salim. Saya tersenyum bila perut teksi itu meluahkan Saadiah, ibu dan ayahnya serta adik-adiknya. Mereka meluru ke rumah dengan wajah yang resah dan muram.

Ayah Saadiah menyelesaikan pembayaran tambang teksi. Kemudian menemui datuk. Mereka bersalam. Datuk minta ia bersabar. Tetapi ayah Saadiah ternyata tidak berjaya menahan rasa sedih. Dia terus menangis. Datuk memimpinnya ke rumah.

Saya terus ikut datuk. Bila saya berdiri di muka pintu, saya lihat Saadiah yang tersedu merenung ke arah saya. Dalam wajah yang rawan ia masih sempat menghadiahkan sebuah senyum manis dan penuh erti untuk saya.

Aduh, dalam sedu-sedan pun wajahnya tetap manis, inilah yang membuat diri saya tidak tentu arah. Kalau datuk tidak ada di situ pasti saya menghampirinya, memujuknya supaya jangan bersedih dan menangis, harus menerima segala-galanya dengan sabar.

Apakan daya datuk ada dekat saya. Kalau saya turutkan kata hati, pasti saya dimarahi datuk. Hanya renungan dan kerlingan mata sahaja yang dapat saya lakukan. Lebih dari itu saya tidak sanggup membuatnya.

“Mari kita balik Tamar.”

“Ya tuk,” jawab saya sambil cuba menghampiri Saadiah yang berdiri di pintu ruang tengah. Saya lihat Saadiah seakan-akan melangkah mahu menghampiri saya.

“Ke mana kamu nak pergi tu Tamar. Ikut ini bukannya nak keluar ikut pintu dapur.”

“Haaa…,” saya pura-pura terkejut. Beberapa orang wanita yang ada di ruang rumah tersenyum ke arah saya. Tebal rasa kulit muka. Saya terus menuju ke pintu. Pijak tangga dan terus melangkah pulang.

Sebelum sampai di selekoh jalan, saya renung ke arah muka pintu sambil melambai-lambaikan tangan. Saya renung datuk. Dia tunduk melangkah. Cepat-cepat lambaian tangan Saadiah saya balas. Baru dua kali lambai. Datuk terus berdehem. Saya terkejut dan tidak menoleh ke arah rumah Haji Salim.

Sudah seminggu Haji Salim meninggal dunia. Saya rasa cukup sepi. Dalam tempoh seminggu itu, secara diam-diam saya mengunjungi rumah arwah Haji Salim. Dua kali saya dapat bercakap dengan Saadiah.

Saya gembira bila Saadiah memberitahu saya yang dia akan tinggal lama bersama neneknya. Persetujuan sudah dibuat antara nenek dengan kedua orang tuanya yang sudah pun pulang ke Beranang. Sebenarnya setiap hari saya berdoa supaya Saadiah terus tinggal bersama neneknya.

Rupanya tindak-tanduk saya itu dapat dikesan oleh datuk. Suatu hari datuk memanggil saya.

“Aku rasa kamu berkenan dengan Saadiah?”

“Tidak tuk, saya kawan biasa saja.”

“Hai, dua malam yang lalu aku dengar kau mengigau menyebut nama Saadiah.”

“Haa tuk silap tu.”

“Tak silap Tamar. Aku tahu, aku juga muda macam kamu. Tak usahlah sembunyi-sembunyi. Cuma aku nak ingatkan satu saja.”

“Apa dia tuk?”

“Urus diri sendiri dulu, sebelum nak menguruskan anak orang. Berfikir dengan masak-masak sebelum berkenan dengan anak orang. Kalau kamu rasa kamu sanggup aku tak menghalangnya.”

“Ha tuk ni mengarut.”

Saya segera meninggalkan datuk dengan perasaan malu. Dalam kata-kata yang lunak datuk mengenakan saya. Sindirannya tajam dan penuh makna. Dua tiga hari saya tidak mahu memandang muka datuk. Bila rasa malu itu sudah hilang barulah saya mendampinginya.

Dan datuk tidak lagi menyebut perkara Saadiah di depan saya. Saya juga cuba menjauhkan diri dari Saadiah. Malangnya makin saya cuba menjauhkan diri, hati bagaikan digaru-garu mahu melihat wajahnya. Sehari tidak dipandang, saya rasa hidup ini tidak ada ertinya.

Setiap pagi, bila datuk keluar dan nenek membuat kerja-kerja dapur, cara sembunyi-sembunyi saya pergi ke kawasan belukar di belakang rumah Haji Salim pura-pura melastik burung. Bukan apa-apa, dapat renung rambut Saadiah sudah cukup.

KELUAR

Macam selalu, datuk tidak pernah betah duduk di rumah. Perangainya yang suka berjalan, menengok sanak-saudara dan sahabat handai yang jauh sudah mendarah daging dalam dirinya.

Kali ini datuk mengajak saya mengunjungi pusara Siti Lipat di Belanja Kiri. Saya membantah, kampung tersebut sudah kerap saya kunjungi. Tidak ada sesuatu yang istimewa, kecuali musim buah durian dan langsat.

Pergi ke Belanja Kiri musim buah-buahan memang seronok. Naik muak makan buah durian. Tidak saya duga perbuatan saya itu menimbulkan kemarahan yang amat sangat pada diri datuk.

“Kamu tahu di situ ramai kaum kerabat kamu. Kamu mesti ikut. Biar kamu kenal asal keturunan kamu,” katanya. Saya terus membisu. Dalam masa itu juga saya teringatkan Sungai Sandang dan Sungai Perak.

“Siti Lipat tu dua kali moyang kamu. Kamu mesti pergi ke kubur membaca fatihah.” Tambahnya lagi. Saya tidak ada jalan lagi. Terpaksa ikut cakapnya.

Berat juga rasa hati mahu meninggalkan Saadiah. Kalau saya tidak memikirkan yang diri saya ini sejak kecil dipelihata datuk dan nenek, pasti saya memberontak dan melawannya. Bila dikenangkan jasa mereka membela saya, semuanya tidak jadi saya lakukan.

Di Belanja Kiri, kami tinggal di rumah Mehran yang letaknya tidak jauh dari rumah Hajah Fatimah, iaitu kakak Mehran. Kedua-dua wanita ini mempunyai pertalian keluarga yang cukup rapat dekat datuk.

Malam itu selepas makan, Mehran menceritakan tentang kisah Siti Lipat. Saya tahu Mehran berbuat demikian kerana mahu memenuhi permintaan datuk.

“Kamu ceritakan pada budak nakal ni siapa dia Siti Lipat,” kata datuk yang duduk bersandar di dinding sambil mengunyah daun sirih. Hajah Fatimah ketawa sahaja melihat telatah datuk yang selalu membanggakan asal keturunannya itu.

Maka berceritalah Mehran pada malam itu. menurutnya Siti Lipat berasal dari sebuah kampung yang tidak jauh dari Cekar Galah di daerah Kangsar. Orangnya cantik, pandai bersilat, peramah dan bersopan santun.

Tiba-tiba perempuan cantik itu berselisih faham dengan keluarga. Ia merajuk lalu membuat rakit buluh dan menghilir ikut Sungai Perak. Hatinya terlalu keras. Masa berakit itu semua halangan ditempuh dengan tabah.

Sampai di Cekar Galah, ia dipujuk oleh kaum keluarga yang ada di situ supaya kembali ke pangkuan keluarga. Nasihat itu tidak diindahkan oleh Siti Lipat yang berkulit putih, memiliki raut wajah macam orang Arab.

Ia meneruskan perjalanan hingga rakitnya tersekat di sebuah jeram. Masa tersangkut di jeram itulah ia didatangi oleh seorang lelaku yang bernama Kanda Ali, iaitu orang suruhan Sultan. Kedatangan Kanda Ali ditentang oleh Siti Lipat.

Akhirnya, Siti Lipat berjaya dipujuk dan dibawa ke istana. Siti Lipat berkahwin dengan Kanda Ali. Tetapi, kerana dirinya cantik ia digoda oleh orang lain. Mereka menyangka Siti Lipat mudah digoda.

Kerana sakit hati, orang yang jahat itu terus berusaha mahu membunuh suaminya. Perbuatan itu menjadikan Siti Lipat marah. Ia terus bertindak dan berjaya membunuh orang yang mahu membunuh suaminya.

Perkara itu sampai ke pengetahuan Sultan. Siti Lipat dan suami diperintahkan ditangkap serta dihukum bunuh.

Orang yang mahu menangkap Siti Lipat semuanya mati di hujung kerisnya. Tidak ada seorang pun yang berani rapat dengannya. Siti Lipat dan Kanda Ali melarikan diri dengan rakit hingga sampai ke Tepus.

“Dari situ mereka pindah ke sini, menetap hingga mereka mati,” kata Mehran menamatkan ceritanya. Saya tersenyum. Sukar untuk saya mempercayai cerita dari mulut ke mulut itu. Walaupun kubur Siti Lipat masih wujud di Belanja Kiri, mungkin cerita itu ada tokok tambahnya, fikir saya.

“Awak tahu, Saadun anak saudara kita sudah nak jadi dukun. Kononnya berguru dengan kaki tokak,” cara mendadak Hajah Fatimah membuka mulut.

“Itu bahaya, itu bomoh pembohong,” kata saya.

“Eh, bomoh kaki tokak tu sudah banyak mengubat orang sakit, semuanya sembuh. Tapi bayarannya mahal. Tengok jenis penyakit kena lima puluh ringgit. Sekali berubat kena dua tiga ratus. Apa yang peliknya sakit yang diubatinya semuanya sembuh.” Tambah Hajah Fatimah.

“Kita kena panggil dia Mahaguru,” tingkah Mehran dengan lebih serius.

“Ini sudah mengarut. Esok saya nak jumpa Saadun, jangan berguru pada bomoh penipu tu,” tiba-tiba datuk melenting. Ia terus bangun. Berdiri dengan wajah yang merah. Mehran dan Hajah Fatimah jadi cemas.

“Kita tak mahu anak buah kita diperalatkan oleh orang tu. Kalau sudah masuk perangkapnya, kita semua menerima bala yang besar,” sambung datuk. Ia terus duduk kembali.

Saya segera teringatkan Saadun anak saudara dua wanita tersebut. Orangnya berbadan kurus, suka belajar perkara dukun-mendukun. Pernah menuntut ilmu dengan orang asli. Pernah pergi ke Siam.

“Kita mesti selamatkan Dun,” suara datuk keras. Ia renung muka Mehran dan Hajah Fatimah yang tercengang. Datuk nampak resah, kalau boleh malam itu juga ia mahu menemui Saadun. Tetapi hasrat itu dihalang oleh kedua ibu saudara Saadun.

“Esok saja kamu cari si Dun tu Mat Diah. Malam ni kalau kamu pergi ke rumahnya, kamu tak dapat jumpa dengannya.”

“Dia ke mana?”

“Ikut gurunya belajar agama.”

“Di mana?”

“Di kaki bukit dekat Cangkat Banjar.”

“Masjid ada, surau ada. Kenapa belajar agama dalam hutan.”

“Entahlah, kami tak tahu,” balas Hajah Fatimah dan Mehran serentak.

Datuk terdiam. Saya lihat jam tua yang tersangkut di dinding sudah pukul sebelas malam. Datuk membincangkan sesuatu dengan suami Hajah Fatimah. Hajah Fatimah dan suaminya pulang ke rumah.

Pukul sebelas setengah, suami Mehran pulang dari memburu rusa. Tidak ada seekor rusa atau pelanduk yang dibawa. Kata suami Mehran, ia dan kawan-kawannya tidak dapat masuk hutan kerana gajah liar mula berkeliaran.

Sebelum masuk bilik tidur, suami Mehran menyatakan bimbangnya dengan perangai Saadun yang mula mencari kubur-kubur lama sekitar kampung. Salah sebuah kubur lama yang diminatinya ialah kubur Siti Lipat.

“Ini tidak boleh dibiarkan, nanti kubur lama tu dipuja,” cetus datuk.

“Buat apa?” soal suami Mehran.

“Kumpulan mereka tu percaya dalam kubur lama ada emas dan harta karun.”

“Kerja bidaah tu,” bentak suami Mehran.

“Sebelum dia tersesat jauh, kita perlu menyedarkannya. Jangan biarkan keturunan kita tunduk dengan kuasa syaitan,” datuk terus menggenggam penumbuk.

Mehran dan suaminya bertukar pandangan.

“Siapa yang berani melarang budak tu. Kalau silap cakap, kepala kita diparangnya,” Mehran bersuara. Suaminya anggukkan kepala. Rasa cemas terbayang di wajahnya.

“Dia tu, kalau dah naik angin, bukan kenal tua muda,” Mehran menambah.

“Biar saya uruskan. Membiarkan orang yang membuat kerja bertentangan dengan agama, ertinya kita bersubahat. Dosa orang bersubahat ini terlalu besar,” jelas datuk. Mehran dan suaminya terus terdiam.

Saya dan datuk masuk ke bilik tidur yang dikhaskan untuk kami berdua. Saya terus tidur dan datuk terus membaca Quran kecil yang selalu dibawanya ke mana-mana.

Saya tidak tahu pukul berapa datuk tidur. Saya terjaga bila dikejutkan oleh datuk untuk melakukan sembahyang Subuh. Sebelum matahari terbit, datuk sudah berjalan seluruh kampung kerana mandi embun.

Lepas sarapan, menebas kebun durian dan langsat milik Mehran. Tujuan datuk berbuat demikian untuk mengeluarkan peluh. Tepat pukul sepuluh datuk pergi ke sungai Perak. Ia berenang dan menyelam. Datuk memberi petua pada saya untuk menyelam lama dalam sungai sampai setengah jam.

Petua itu saya lakukan dan hasilnya memang memuaskan. Masa berada dalam air, saya rasakan air sungai tidak menempuh tubuh badan. Kita seperti berada di dalam bilik kaca, dapat bernafas dengan baik. Dapat melihat ikan-ikan berenang.

Semua ikan dan binatang dalam air tidak boleh diusik atau ditepis, meskipun ikan itu melanggar tubuh sendiri. Jika ditepis atau dimaki, air akan menyerbu tubuh dan tidak boleh bernafas. Selain daripada itu, waktu mahu menimbulkan badan di permukaan sungai, mesti menemukan kulit kepala dengan dasar sungai sebanyak kali.

Waktu naik, badan tidak boleh tegak. Mesti ikut arus air serta mengadap arah matahi jatuh. Tidak boleh melagakan gigi atas dengan gigi bawah atau menggigit lidah. Mulut mesti berada dalam keadaan separuh terbuka. Amalan dan petua itu pada mata kasar cukup mudah. Tetapi bila dilaksanakan terlalu sukar rasanya.

Pantangnya yang paling besar tidak boleh terjun dalam sungai kepala dulu. Tidak boleh minum air sungai, walau macam mana dahaga sekalipun. Amalan itu saya lakukan hanya beberapa tahun sahaja. Lepas itu saya tinggalkan langsung hingga kini.

Orang yang mengamalkan ilmu menyelam lama sampai berjam-jam dilarang memakan ikan sungai yang dibuat gulai kecuali digoreng tanpa membuang kepala dan ekor serta sisik ikan. Tidak boleh kencing dan buang air besar dalam sungai.

“Kita ke rumah Saadun. Sebelum tu kita balik ke rumah Mehran dulu, aku nak tukar pakaian,” ujar datuk.

Kami pun meninggalkan tebing sungai Perak. Setelah menukar pakaian kami menuju ke Kampung Tua dengan harapan Saadun ada di rumah. Baru separuh jalan melangkah, kami bertembung dengan Mat Resad yang tepok. Macam selalu, Mat Resad yang suka bergurau itu terus mengusik datuk dengan kata-kata yang melucukan hingga datuk ketawa terbahak-bahak.

“Kamu dari mana Mat Resad?”

“Balik tengok orang berlatih silat.”

“Kenapa kamu tak belajar.”

“Malaslah, lain macam silat yang diajar. Belum bersilat kena sembah matahari. Kena bayar duit lima ringgit setiap kali masuk gelanggang.”

“Lagi apa syaratnya?”

“Syarat yang boleh diterima mengakui mahaguru silat, sebagai orang kuat boleh melakukan apa saja. Setiap orang murid mesti menganggap mahaguru itu sebagai nabi.”

“Ada mahaguru tu di situ.”

“Tak ada. Yang mengajar tu orang kanannya yang dipanggil panglima.”

“Siapa namanya Mat Resad?”

“Daud.”

“Daud,” suara datuk gugup bersama wajah yang cemas. Hati saya mulai cemas. Mat Resad mengarahkan jari telunjuk arah kanan. Tanpa mengucapkan sesuatu pada Mat Resad, datuk menarik tangan saya.

KAYU

Bila Daud melihat datuk berdiri di bucu gelanggang, ia berhenti membuka langkah silat. Ia suruh anak muridnya ke tepi. Perlahan-lahan Daud memegang sepotong kayu berhampiran kakinya. Kayu itu diangkat dan separas dada. Semua anak muridnya terkejut melihat kayu itu mengeluarkan asap dan hancur.

Daud cuba memperlihatkan kemampuannya di depan anak-anak muridnya serta datuk. Datuk masih tenang menghadapi semuanya itu.

Datuk terus masuk gelanggang. Tiba-tiba Daud hilang entah ke mana. Saya terhidu bau busuk dan hapak. Datuk merenung anak-anak murid Daud yang secara kebetulan pula semuanya ada hubungan keluarga dengan datuk.

“Kamu balik semua,” suara datuk lembut. Tidak seorang pun yang mahu mematuhi cakap datuk. Saya lihat datuk tersenyum.

“Baliklah kalau tidak mahu jadi sesat. Aku kenal siapa dia guru kamu,” datuk kecewa lagi. Mereka tidak juga mahu meninggalkan gelanggang.

“Kalau kamu tak mahu balik tak apa. Kalau apa yang terjadi pada diri kamu, jangan salahkan aku. Sebagai orang tua aku sudah memberitahu kamu,” datuk terus meninggalkan gelanggang menuju ke rumah Saadun. Bila saya renung gelanggang itu kembali, kumpulan anak-anak muda itu pun bersurai.

Rumah Saadun yang pangkat cucu saudara pada datuk letaknya agak terpencil. Di kelilingi pokok pisang dan rumpun buluh. Di belakang pondok terdapat pokok jejawi yang besar. Akar-akar pokok berjuntaian.

Dari jauh kami sudah terhidu bau kemenyan. Panas pagi mula memancar agak terik memanah atas dedaun pisang yang hijau dan lebar. Ayam peliharaan Saadun berlari di halaman pondok. Datuk berhenti melangkah, ia terus menepuk bumi sambil mulut bergerak-gerak.

Kami terus rapat ke dinding pondok. Terdengar bunyi orang batuk dan bercakap-cakap.

“Permulaannya, malam ini kita adakan pemujaan di kubur. Kita bawa budak-budak yang belajar silat dengan Daud. Langkah kedua kita potong lidah anak dara sunti,” saya kenal itulah suara Kamal yang jadi musuh datuk nombor satu.

“Dia tidak serik lagi,” bisik datuk pada saya dan terus mengetuk pintu pondok Saadun berkali-kali.

Saya terdengar Kamal melarang Saadun membuka pintu. Datuk terus marah membara. Pintu pondok dijentiknya dan papan pintu terus terkopak. Datuk meluru dan berdiri di muka pintu, macam seorang hulubalang dengan pandangan mata yang tajam dan liar sekali.

Saya tetap berdiri tidak jauh dari datuk. Saya lihat muka Saadun pucat lesi. Kamal menyandar badan ke dinding sambil mendirikan lutut kanannya. Cukup tenang Kamal membalut rokok daun tanpa memandang muka datuk.

“Kamu keluar Saadun,” suara datuk meninggi. Saadun seperti berada dalam keadaan yang serba salah. Sekejap renung muka datuk, sekejap renung muka Kamal.

“Saya mahu belajar Ayah Uda.”

“Bukan tempatnya, kamu keluar.”

“Tapi.”

“Tak ada tapi. Keluar kata aku, keluar,” kian keras suara datuk. Saadun terus keluar tanpa memperdulikan suara batuk dari Kamal yang memberi isyarat jangan keluar.

Perlahan-lahan Kamal mengangkat kakinya yang dihinggapi tokak. Ulat-ulat tokak yang jatuh atas lantai dipegang serta ditaruh kembali pada tokaknya. Ia semacam tidak kisah dengan kehadiran datuk di depannya.

“Kamu memburu aku,” suara Kamal parau. Ia angkatkan kepala mempamerkan mukanya yang mengerutu dan berbonjol lembik.

“Aku tak memburu kamu. Semuanya terjadi cara kebetulan.”

“Agaknya, aku tak boleh lari dari kamu.”

“Itu aku tak tahu semuanya tu Kamal.”

“Tak tahu.”

“Ya, aku tak tahu si Saadun ni anak buah kamu. Kalau aku tahu, aku tak ingin mendekatinya.”

“Sudahlah Kamal.”

Kamal membuka tengkoloknya. Ia mencapai tongkat yang berkepala ular. Ia bangun sambil berusaha supaya ulat yang memakan buah betisnya tidak jatuh atas lantai.

Datuk masih juga berdiri di muka pintu. Saadun terpegun melihat peristiwa yang terjadi di depannya. Sebelum Kamal mengangkat tongkatnya, datuk membuka kain yang membelit pinggangnya. Kain itu dikibaskan ke arah tongkat Kamal. Dengan sekali sentak sahaja tongkat Kamal berlegar-legar di depan datuk, macam harimau dalam kandang besi.

Datuk bagaikan tahu niat Kamal, ia menyuruh saya dan Saadun beredar darinya. Mungkin dengan berbuat demikian memudahkan datuk mempertahankan diri bila Kamal meluru ke arahnya.

“Kamal, aku tahu kekuatan ilmu dunia yang kamu tuntut hanya berkesan pada sebelah malam. Bila siang kurang berkesan,” kata datuk.

Kamal tidak menjawab. Ia membuka bajunya. Saya lihat di leher dan pergelangan tangannya penuh dengan tangkai yang dibuat dari tulang binatang.

Seluruh kulit di badannya berbenjol-benjol dan penuh dengan parut. Sinar matanya cukup tajam, macam mata kucing yang sedang memburu tikus. Cara mendadak sahaja Kamal hilang dari pandangan kami.

“Tamar.”

“Ya tuk.”

“Carikan aku tujuh helai daun lalang.”

“Baik tuk.”

Saya terus mencari tujuh helai daun lalang. Saya serahkan pada datuk yang berdiri di muka pintu. Dedaun lalang itu datuk ramas. Diludah dua tiga kali. Daun lalang dilemparkan di tengah pondok. Di tempat daun lalang itu jatuh, terpacak sekujur tubuh Kamal.

“Kalau kamu belajar ilmu dunia dari kaum kubu, aku juga belajar petua untuk menawar ilmu itu dari orang kubu juga,” ujar datuk dengan tenang. Kamal terus membongkokkan badan. Kepalanya dimasukkan ke celah kangkang. Datuk juga tidak berganjak dari muka pintu. Panas yang terik di luar pondok membuat badan Kamal nampak berminyak.

Datuk terus membaca sesuatu. Secara mendadak semua tangkal dan azimat di badan relai dan jatuh berserak atas lantai pondok. Kamal terus mengguling-gulingkan badan atas lantai pondok dua tiga kali.

Akhirnya, ia berdiri tegak di tengah pondok. Datuk terus merendahkan badan, beberapa ketul batu yang datang dari tempat Kamal berdiri lalu atas kepala datuk.

“Kamal, kamu tidak mahu bersahabat dengan aku untuk jalan kebaikan,” kata datuk. Kamal terus membisu. Ia berlari dalam ruang pondok dan terus mengambil tongkat berkepala ular di sudut pondok.

Ia menghentakkan tongkat itu pada tiang pondok. Sebaik sahaja tongkat itu bertukar menjadi pedang pendek. Datuk tergamam.

Tiba-tiba saya terdengar suara Saadun mengeluh. Saya segera menoleh. Saya lihat Saadun tersungkur atas tanah. Bila saya mahu menerpa ke arahnya satu tendangan hinggap di bahu saya. Tendangan itu cukup keras. Saya tercampak di perdu pisang.

Saya lihat Daud berdiri tidak jauh dari saya. Belum pun sempat saya menyebut sesuatu, saya lihat Daud menyerang datuk dari arah belakang. Datuk mengelak dan melepaskan pukulan ekor buaya jalan ke badan Daud. Pukulan itu membuat Daud tersungkur lalu merempuh papan pondok. Papan pondok berkecai.

Bila datuk mahu melepaskan pukulan ekor buaya jalang kali kedua, Kamal meluru ke arah datuk dengan pedang pendek. Datuk terdesak tetapi sempat melepaskan tamparan kucing jantan ke pergelangan tangan Kamal. Pedang pendek terlepas dari tangan, jatuh atas lantai pondok dan bertukar menjadi tongkat kembali.

“Sihir,” jerit datuk sambil melipatkan lengan bajunya. Ketika itu juga Kamal mengangkat kakinya yang tokak ke arah datuk. Saya lihat datuk terhoyong-hayang. Bau busuk yang cukup busuk mula menguasai seluruh kawasan pondok.

“Tamar pandangan aku gelap,” jerit datuk dengan sekuat hati. Kamal berjaya melepaskan dirinya dari dalam pondok. Ia terus mengangkat Daud. Badan Daud ditepuknya dua tiga kali. Daud kembali cergas dan bertenaga.

Kamal mengambil sekepal tanah. Dilemparkannya ke arah datuk. Bahagian baju datuk yang kena tanah terus berlubang dan reput macam kena air asid. Datuk terus terhoyong-hayang. Datuk jatuh dan menggolekkan badannya atas rumput.

Datuk meniarapkan badan atas rumput, dua tiga kali ia menyondol-nyondol rumput hijau. Datuk terus kaku di situ untuk beberapa saat. Saya tergamam tidak tahu apa yang harus dilakukan. Saadun masih mengerang kesakitan.

Saya cuba bangun tetapi tidak terdaya. Saya cuma dapat melihat pergerakan datuk dari jauh. Perlahan-lahan datuk memusingkan badannya merenung ke arah matahai, datuk membukakan kelopak matanya dalam panas yang cukup terik.

70. Bantal Peluk Berjalan Malam

** Sumbangan dari ahli komunitisbdj Heysanto


“Kita juga tidak percaya tapi ramai orang yang percaya dengan perkara yang karut-marut tu.”

“Ajal maut milik Allah. Kalau ajal kita belum tiba, jatuh dalam gunung berapi pun kita hidup. Bila ajal dan janji kita sudah tiba, digigit semut pun kita mati.”

“Kita jangan lupa, nyawa kita ini dipinjamkan oleh Allah pada kita. Bila sampai waktunya nyawa kita akan diambilnya. Jadi kenapa kita takut pada mati, kalau kita sudah membuat persiapan yang cukup,” balas Haji Salim dengan tenang. Ketika ia berkata-kata tadi, saya lihat sinar matanya cukup tajam.

“Kita setuju,” jawab datuk.

“Mari sembahyang, Isyak dah sampai,” Haji Salim segera bangun. Ketika itu juga terdengar suara azan Isyak dari surau membelah ketenangan seluruh kampung.

“Kita jadi imam,” tambah Haji Salim.

“Silakan,” ujar datuk tersenyum.

“Nanti dulu,” kata saya.

“Kenapa pula budak ni,” keras sekali suara datuk.

“Saya terkentut dalam diam tuk.”

“Ah kamu ni, ada ada saja. Pergi cepat.”

Saya meluru ke bilik air. Saya terdengar suara ketawa dari haji dan datuk tingkah meningkah. Mereka geli hati dengan kelakuan saya. Memang kelemahan diri saya, air sembahyang saya cepat batal. Bila ada air sembahyang perut buat ragam dan sering mahu mengeluarkan udara kotor dari dalamnya.

Kalau tidak ada air sembahyang, perut tidak pula buat hal. Entah mengapa begini jadinya, mungkin dugaan pada orang yang ada air sembahyang terlalu banyak, fikir saya sendirian. Nantilah satu hari, mahu saya tanyakan hal itu pada Haji Salim.

Haji Salim mengambil tempatnya sebagai imam. Saya dan datuk berdiri hampir berlaga bahu. Memang pesan datuk kalau sembahyang jemaah mesti rapat, jangan ada ruang untuk syaitan lalu yang menggoda kita sembahyang.

Sembahyang Isyak dapat disempurnakan dengan aman. Haji Salim terus membaca doa. Suaranya cukup terang dan jelas sekali. Cara mendadak suaranya yang terang itu beransur lemah dan tidak kedengaran langsung.

Saya lihat Haji Salim terus rebah di tikar sembahyang. Datuk dan saya terus menghampirinya. Haji Salim kelihatan sukar untuk bernafas. Datuk segera mahu melakukan rawatan kecemasan.

“Tak payah, masanya sudah sampai,” kata Haji Salim. Nafasnya beransur tenang. Ia terus merenung wajah datuk dengan senyum. Dengan susah payah Haji Salim melunjurkan kedua belah kakinya. Ia terus baring. Sepasang matanya merenung lelangit rumah dengan tenang.

Isterinya datang membawa bantal. Datuk segera mengambil bantal itu, terus mengenepikan ke kepala Haji Salim. Ia kelihatan lemah sekali.

“Maafkan aku, kalau ada tersilap dan kasar bahasa pada kamu,” Haji Salim renung muka isterinya. Perlahan-lahan isterinya anggukkan kepala bersama wajah yang gusar.

“Begitu juga pada kamu Tamar,” Haji Salim renung muka datuk dan saya.

Serentak datuk dan saya anggukkan kepala. Isteri Haji Salim mula tersedu dan datuk terus memujuk isteri Haji Salim supaya jangan menangis dan meraung. Ternyata isteri Haji Salim patuh dengan cakap datuk.

“Sahabat, kita nak tidur. Kita rasa bekalan kita sudah cukup,” suara Haji Salim cukup lemah. Sinar matanya cukup redup menikam wajah datuk. Saya lihat datuk menarik nafas dengan rasa yang penuh berdebar.

Beberapa saat kemudian, saya lihat Haji Salim merapatkan kedua belah kelopak matanya dengan aman. Wajahnya nampak seakan-akan orang tersenyum. Datuk segera merasai perjalanan nadinya.

“Dia kembali pada yang HAK. Semoga amal ibadahnya diterima oleh Allah,” beritahu datuk pada isteri Haji Salim. Dan saya lihat perempuan tua yang berwajah tenang itu mengesat air matanya dengan hujung baju.

“Saya goreng pekasam kesukaannya tapi…,” perempuan Haji Salim tidak terdaya meneruskan kata-kata itu. ia terus tersedu. Saya dan datuk berpandangan.

“Jangan disesali kematiannya. Kita mesti merelakan apa yang sudah diatur oleh Allah,” datuk mengingatkan isteri Haji Salim yang masih termenung.

“Baik tuk.”

“Pergi sekarang.”

SEMPIT

Dengan hati-hati saya memijak anak tangga kiri kanan jalan menuju ke surau ditumbuhi pokok-pokok kecil yang merimbun. Memang sukar berjalan di jalan yang sempit. Kalaulah orang lain yang menyuruh, pasti saya bantah.

Melangkah di jalan yang sempit waktu malam, memang menyulitkan. Dua tiga kali saya terlanggarkan akar pokok yang melintang atas jalan. Bukan kepalang sakitnya.

Ada masanya saya terpaksa melompat, akibat dilanggar oleh katak puru yang muncul dari rimbunan pokok kecil di kiri kanan jalan. Saya lihat langit yang cerah, gumpalan awan terus berarak.

Saya sampai dekat pokok kelapa yang patah pucuk, akibat dipanah petir. Dari pangkal pokok kelapa itu, saya lihat cahaya gasolin di surau terang-benderang. Hati saya gembira kerana surau masih belum ditinggalkan oleh orang kampung.

Dalam gelap yang pekat itu, suara cengkerik kian rancak menyanyi. Beberapa ekor kelip-kelip terbang tidak tentu arah. Desir angin yang menyentuh dedaun terus berbunyi. Jarak surau dengan rumah Haji Salim kira-kira suku batu.

Tiba-tiba saya tersepakkan benda lembik. Saya berhenti melangkah sambil memusingkan kaki kanan saya dengan harapan dapat merasakan benda lembik itu. Anehnya, benda lembik itu tidak tersentuh bila melangkah. Dan dengan tiba-tiba saya teringatkan Haji Salim yang sudah menjadi mayat.

Saya juga teringat cakap orang tua-tua yang mengatakan bila ada orang mati malam, syaitan selalu merayau di kawasan orang ang meninggal dunia bertujuan untuk menakut-nakutkan orang yang masih hidup. Mengingatkan semuanya itu, cara mendadak sahaja bulu tengkuk saya meremang. Rasa takut mula bersarang dalam diri.

Cara yang paling baik dilakukan, berlari sahaja dalam gelap. Redah atau langgar apa sahaja, dengan itu cepat sampai ke surau dan terus pukul kerantung tujuh kali berturut-turut.

Setelah diperhitung dan dipertimbangkan dengan teliti, saya membuat keputusan untuk lari menuju ke surau. Baru lima enam langkah berlari, saya terlihat benda putih sebesar buah kelapa datang bergolek-golek ke arah kaki saya.

Dalam jarak dua kaki dari saya, benda putih itu berhenti bergolek. Bentuknya juga berubah jadi memanjang bantal peluk. Perlahan-lahan benda putih itu bangun, berdiri setinggi tubuh saya. Saya renung kiri kanan. Apa yang saya lihat, barisan kelip-kelip yang terbang menuju ke satu arah, iaitu arah barat daya.

Saya jadi tidak tentu arah dan bersedia menjerit memanggil datuk. Tetapi, hasrat itu saya batalkan. Saya terus membaca ayat-ayat Quran untuk menghalau syaitan. Makin kerap ayat-ayat Quran itu saya ulangi, makin rancak benda putih itu berpusing-pusing di depan saya.

Saya terus lari sekuat hati menuju ke surau. Sampai di surau saya dapati tidak ada seorang pun di situ. Saya terus memanggil-manggil nama Siak beberapa kali. Tidak ada jawapan yang saya terima. Tetapi, mengapa Tuk Siak tidak mematikan lampu gasolin. Barangkali ia terlupa, kata hati saya.

Tanpa membuang masa, saya ambil kayu pemukul lalu memukul kerantung tujuh kali berturut-turut. Selesai sahaja kerantung (beduk) dipukul lampu gasolin terus padam dengan sendiri. Hati saya berdebar. Dan saya bagaikan mahu menangis rasanya. Saya terus duduk di tangga surau.

Dalam keadaan yang kelam-kabut itu, saya terdengar bunyi suara orang batuk dari arah belakang surau.

“Siapa yang mati?” tanya suara dari belakang surau.

“Tuk Siak di mana?”

“Aku tanya lain, kamu jawab lain.”

“Haji Salim yang mati.”

“Eloklah tu.”

Darah saya tersirap. Dan saya yakin, itu bukan suara Mat Upih Tuk Siak surau. Suara Mat Upih parau bercampur nyaring. Tetapi suara yang saya dengar ini, keras tidak nyaring dan serak.

Setiap orang kampung yang menerima berita kematian akan menjawab dengan kata-kata; Innalillah wa inna Ilaihirajiun. Mereka tidak akan mengucapkan perkataan, eloklah tu, seperti yang diucapkan oleh orang dari arah belakang surau.

“Itulah padahnya melawan kita,” tercetus lagi kata-kata dari orang yang tidak saya kenali. Dengan tidak disangka-sangka rasa marah dan benci tumbuh dalam hati saya terhadap orang itu.

“Ei, manusia tak baik cakap macam tu. Kamu juga akan mati,” balas saya.

“Sudahlah, tak lama lagi giliran datuk kamu.”

“Nyawa datuk aku bukan di tangan kamu, tahu.”

“Tunggu, dan lihat sendiri.”

“Laknat.”

Sebaik sahaja kata-kata itu saya ucapkan, saya tercium bau yang amat busuk. Saya terlihat dua lembaga manusia melintas di depan saya. Dari bentuk lembaga itu, saya tahu orang itu tidak lain tidak bukan ialah Kamal dan Daud.

“Aku tahu siapa kamu,” jerit saya.

Dalam saya terus berlari meninggalkan surau, terdengar suara orang ketawa berdekah-dekah dituruti dengan bunyi tapak kaki memburu saya dengan kuat. Saya terus berlari tanpa mahu menoleh ke belakang, ke kiri atau ke kanan.

Bila saya sampai di rumah Haji Salim, saya lihat orang sudah ramai. Mat Upih duduk di halaman rumah bersama dengan kawan-kawan. Semuanya memakai songkok putih.

“Macam mana tahu Haji Salim meninggal?” saya ajukan pertanyaan pada Mat Upih yang berkulit putih, berasal dari Pangkalan Bharu, dekat Pantai Remis.

“Ada orang datang beritahu para jemaah. Bila disuruh pukul kerantung, dia tak mahu. Katanya kamu nak pukul lepas sembahyang Subuh,” jawab Mat Upih.

“Pak Mat Upih kenal orangnya?”

“Inilah yang kami bincangkan. Orang tu memakai serba hijau, kami ingatkan keluarga si arwah yang datang dari jauh,” Mat Upih renung kawan-kawannya. Semua kawan-kawannya anggukkan kepala.

Saya garu pangkal telinga dua tiga kali. Di sudut halaman datuk sedang berunding dengan penggali kubur. Isteri Haji Salim sedang bercakap dengan Borhan. saya terus menghampiri mereka.

“Aku nak suruh si Borhan ni telefon anak buahku dan telefon malam ni juga. Mana yang tak ada telefon pagi esok di pejabat,” terang isteri Haji Salim lalu memberi nombor telefon pada Borhan.

“Macam mana kau nak buat Borhan,” soal saya.

“Aku ke pekan malam ni juga, gunakan telefon abang aku Tamar.”

“Bila balik ke sini?”

“Malam ni juga.”

Borhan segera meluru ke Honda 70cc miliknya. Meninggalkan saya yang terpaku di sisi isteri Haji Salim. Bunyi enjin motosikal Borhan tidak kedengaran lagi.

Berita kematian Haji Salim cukup cepat merebak ke seluruh kampung. Tidak sampai dua jam rumah arwah Haji Salim jadi tumpuan. Semua yang datang tanpa di arah tahu dengan tugas masing-masing.

Ada yang datang membawa ketam, penukul dan paku serta gergaji. Ada yang datang membawa papan dan kayu. Mereka bergotong-royong membuat keranda dan pengusung. Menjelang pukul dua belas malam, semua kelengkapan itu siap.

Tepat pukul satu pagi, orang-orang yang datang pulang ke rumah masing-masing. Mereka sudah tahu tugas-tugas yang akan dilakukan pada esok pagi. Beberapa orang penduduk kampung terus membaca Quran di depan jenazah Haji Salim.

Pada mulanya, perbuatan itu ditentang oleh datuk. Menurut datuk membaca Quran di depan jenazah merupakan perbuatan yang bidaah, tidak pernah dilakukan oleh Nabi Besar Muhammad SAW.

“Tidak. Tujuannya baik dan perkara ini harus. Kita menyedekahkan pada roh arwah, kita tak usah bertekak atas perkara ini, nanti menimbulkan perbalahan antara kita,” sanggah Pak Imam.

“Saya tak pula bermaksud begitu. Setahu saya amal ibadah yang ditambah-tambah, perkara yang tidak dilakukan oleh nabi kita buat, sudah tentu perbuatan tu dicela oleh agama kita,” datuk mempertahankan pendapatnya.

“Sebenarnya masalah ini, ulama-ulama besar pun tidak sependapat. Ada yang kata boleh, ada yang kata tidak. Sudah jadi kebiasaan orang-orang kita membaca Quran di depan jenazah,” tambah Imam lagi.

“Tak apalah, saya akan tanya pada ahli-ahli agama dalam hal ini, supaya orang kita dapat melakukan sesuatu yang baik mengikut nabi,” suara datuk merendah.

“Saya setuju dengan awak, tapi apa yang berjalan sekarang jangan dikacau.”

“Demi perpaduan penduduk perkara tu saya tak halang. Tetapi bila saya dapat hujah yang kuat saya menentangnya.”

“Saya setuju,” Pak Imam tersenyum.

Saya tersenyum mendengar percakapan antara datuk dan Pak Imam. Mereka sering bertolak ansur demi kepentingan dan perpaduan para penduduk. Pak Imam terus naik ke rumah. Saya duduk dekat pokok mempelam. Dua tiga kali saya menguap. Kelopak mata terasa amat berat sekali. Rasa dingin kian hebat mendakap seluruh badan. Tanpa diduga saya terlena sejenak.

“Tamar.”

Saya membuka mata. Saya lihat datuk sudah pun duduk di sisi saya. Muka saya ditenungnya lama-lama. Kemudian pangkal ketiak kanan saya ditamparnya sekuat hati. Rasa mengantuk segera hilang.

“Jangan mudah tidur di mana-mana, nanti dikacau syaitan,” katanya pada saya.

“Saya mengantuk tuk.”

“Kalau mengantuk balik ke rumah.”

“Saya takut tuk.”

“Takut?” datuk membeliakkan biji mata pada saya.

Saya terus menceritakan pada datuk, segala kejadian aneh yang saya lalui ketika pergi ke surau beberapa jam tadi. Datuk mendengarnya dengan tenang.

“Dendamnya pada kita belum habis,” cetus datuk sambil meraba ulu keris pemberian Haji Salim yang disimpan dalam uncang kecil. Datuk meninggalkan saya. Ia terus menemui isteri Haji Salim. Setelah bercakap-cakap sebentar dengan datuk, isteri Haji Salim masuk ke rumah. Keluar kembali dengan ditemanui oleh nenek.

Datuk dan nenek bercakap-cakap sebentar. Datuk tinggalkan nenek dan terus menghampiri saya.

“Kita balik dulu Tamar. Lepas Subuh kita datang lagi ke sini. Di rumah kamu boleh tidur.”

“Ini sudah cukup baik tuk.”

“Cepat bangun.”

Saya segera bangun. Badan saya menggeletar kesejukan. Langit tetap cerah tetapi sekitar kawasan rumah Haji Salim terus didakap oleh suasana malam yang agak pekat. Suara jampuk berpadu dengan suara pungguk mendendangkan irama malam yang tidak pernah habis selagi dunia berkembang. Begitu juga dengan suara cengkerik.

Langkah datuk cepat, tidak tersepakkan tunggul atau akar. Ia cukup arif dengan jalan yang dilaluinya. Bagi mengelakkan supaya saya jangan jauh ketinggalakan, saya terpaksa berlari. Kerana berlari membuat badan saya berpeluh dan menghilangkan rasa sejuk.

“Tamar.”

Datuk menepuk bahu saya. Langkah kami terus kaku.

“Ada apa tuk?”

“Kau nampak apa-apa Tamar.”

“Tak ada apa-apa tuk,” saya renung ke kiri, saya renung ke kanan. Dalam gelap gelita itu saya ternampak ada bentuk manusia berdiri antara saya dengan datuk.

“Ada orang tuk.”

Sebaik sahaja kata-kata itu berakhir, bayang-bayang orang itu segera hilang. Ia muncul di depan datuk. Kali ini bayang-bayang ini menjadi nyata. Mempamerkan wajah dan batang tubuhnya. Bila datuk mahu menyapa, orang itu segera hilang dan berdiri jauh di belakang saya.

Orang itu membongkok macam mencari sesuatu di atas tanah. Perlahan-lahan orang itu mengeluarkan buluh tajam dan bersedia mahu menikam tanah yang ada kesan tapak kaki saya dan datuk.

Waktu orang itu mahu menikam buluh tajam ke arah kesan tapak kaki saya dan datuk, bagaikan kilat datuk melompat lalu melakukan satu tendangan yang kuat ke arah pergelangan tangan orang itu. Buluh di tangan orang itu terpelanting lalu melekat di batang pokok pisang.

Orang itu terus tercengan. Tergamam untuk melakukan sesuatu. Dalam keadaan yang serba-salah itu datuk melepaskan satu tendangan yang kencang pada orang tersebut. Saya lihat orang itu tersandar di pangkal pokok pisang.

Kalau orang itu tidak mengelak sudah pasti buluh tajam yang tercabut dan terjatuh dari pokok pisang mengenai perutnya. Kalaulah perkara itu terjadi, sukar untuk saya membayangkannya.

“Aku tahu, kamu menuntut dari kaum kubu di Sumatera, tidak ada sesiapa yang boleh mengalahkan kamu kecuali kaum itu sendiri,” kata datuk. Saya lihat orang itu terdiam. Datuk segera merapatinya.

“Kamal, kamu menggelarkan diri kamu mahaguru. Kau memaksa orang memanggil kamu datuk. Kamulah penipu besar di dunia ini,” datuk terus mengutuk orang itu. tidak ada jawapan dari orang tersebut.

“Aku tahu, ilmu dunia orang kubu cukup hebat, bekas tapak kaki manusia musuhnya kalau ditikam dengan buluh orang itu boleh mati. Jika musuhnya berada jauh dalam jarah berpuluh-puluh batu, boleh dibunuh dengan membalingkan pisau ke arah rumah musuh dan musuhnya mati dengan serta-merta. Aku juga tahu ilmu itu tidak ada pada kamu Kamal,” sambung datuk dalam nafas yang tercungap-cungap.

Saya tidak berkata apa-apa. Bau hapak mula menyumbat lubang hidung saya. Ketika itu juga saya lihat beribu-ribu kelip-kelip berterbangan sekitar kawasan kami berada. Cahaya dari kelip-kelip itu memudahkan saya melihat pergerakan Kamal yang mula mahu bangun.

“Kalau ajalku belum sampai dan tidak diizinkan oleh Allah mati di tangan kamu, usahlah kamu memburu aku Kamal,” beritahu datuk lagi. Kamal terus bangun.

“Buktinya Haji Salim,” pekik Kamal.

“Kamu silap. Ia mati kerana sudah sampai janjinya.”

“Sial, kamu sial, menghalang kerja-kerja aku.”

“Kalau kamu mahu menunjukkan kehandalan ilmu dunia kaum kubu yang kamu tuntut, aku bukanlah tempatnya. Aku tahu ilmu kamu tidak cukup lagi.”

“Mana kamu tahu.”

“Aku berasal di Tanah Jambi. Aku sudah bercampur gaul dengan beberapa orang ketua kaum tersebut, banyak ilmu dunia dia orang yang aku tahu. Serba sedikit pantang larang dan sumpahnya aku tahu,” datuk berhenti bercakap.

Kelip-kelip kian bertambah. Kamal termenung panjang. Bau tokaknya kian kuat berbau. Lolongan anjing sayup-sayup terdengar. Bunyi angin kian kuat bertiup.

“Tokak di kaki kamu tu terjadi kerana kamu tidak pergi berjumpa dengan ketua orang kubu yang mahu tuntut ilmu. Kamu tidak membawa upahnya seekor babi hutan pada setiap tahun.”

“Ah mengarut.”

“Kamal, aku tak mahu cakap banyak. Eloklah kamu pindah dari sini sebelum kamu dilaknati oleh Allah. Pergilah ke mana-mana dan bertaubat.”

“Sudahlah.”

Dengan sekelip mata kelip-kelip yang beribu-ribu itu terus hilang. Kamal juga lesap dari pandangan saya dan datuk. Buluh yang ada di bawah pohon pisang terbakar dengan sendirinya.

Datuk menarik nafas panjang. Di wajahnya terbayang rasa kesal. Lama juga datuk termenung, macam ada sesuatu yang difikirkannya.

“Mari Tamar.”

Saya pun terus melangkah mengikut rentak kaki datuk. Dua tiga kali melangkah, saya renung ke belakang. Bimbang, kalau Kamal muncul lalu menikam saya. Kalau perkara itu terjadi, tentu saya mati katak.

Kami selamat sampai ke rumah. Tidak ada perkara yang tidak diingini berlaku. Sampai di rumah saya terus tidur. Saya tidak tahu apa yang datuk lakukan dalam biliknya.

USUNG

Pagi itu, sebelum pergi ke rumah arwah Haji Salim, datuk duduk di kepala tangga. Saya terus menghampirinya.

“Tamar.”

“Ya, tuk.”

“Kau ingat dengan Daud.”

“Ingat tuk, kenapa tuk.”

“Dia menipu kita. Katanya dulu, Kamal orang nombor dua yang menjalankan perintah guru. Sebenarnya Kamal itulah kepala nombor satu.”

“Betul ke tuk.”

“Sudahlah, mari kita pergi ke rumah arwah Haji Salim.”

Waktu kami sampai orang ramai di rumah Haji Salim. Sanak saudaranya yang jauh sudah ada yang tiba. Saya pusing keliling rumah, kalau-kalau Saadiah dan keluarganya sudah tiba. Ternyata Saadiah masih belum sampai.

Rasa terkilan berbunga dalam diri saya. Rindu benar rasanya mahu melihat lesung pipit di pipi Saadiah. Dalam rasa kehampaan yang memanjang itu saya terus menuju ke arah Lebai Din yang buta kedua belah matanya.

“Tamar,” kata Lebai Din. Saya tersenyum bagaimana orang tua yang buta ini memanggil nama saya dengan tepat. Padahal saya tidak menegurnya.

“Kau pakai baju dan seluar putih hari ni,” tambahnya.

“Ya Pak Lebai,” jawab saya.

Lebai Din terus ketawa dan menepuk belakang saya beberapa kali dengan penuh kemesraan. Tangannya saya pegang erat-erat.

“Macam mana tahu Pak Aji meninggal?” tanya saya.

“Borhan beritahu.”

“Macam mana datang?”

“Jalan kaki Tamar.”

“Jauh tu Pak Lebai.”

“Sebagai orang Islam bila tahu saudara seagama meninggal kita mesti datang,” katanya. Saya anggukkan kepala. Setuju dengan pendapatnya itu.

Datuk datang dan terus duduk di sebelah Lebai Din. Saya tahu bila datuk datang, saya tidak boleh bercakap ikut suka hati, nanti kena tegur oleh datuk.

“Bila mahu dikebumikan,” tanya Lebai Din.

“Lepas Zuhur, nanti anaknya dari Beranang tiba. Kalau tak sampai juga, tak boleh ditunggu lagi.”

“Bagus, menyegerakan mengkebumikan mayat memang dituntut oleh agama, tak baik melambat-lambatkannya,” jawab Lebai Din.

Orang tidak putus-putus datang ke rumah Haji Salim, orang sekampung semuanya tidak pergi kerja hari itu. orang luar dari kampung juga tidak kurang ramai yang datang. Melihat keadaan itu, saya meramalkan semasa hayatnya, Haji Salim memang terkenal dan dihormati.

“Orang yang duduk di tanah saya tu dah pindah,” Lebai Din memberitahu pada datuk. Saya lihat datuk terkejut.

“Macam mana awak tahu.”

“Lepas sembahyang Subuh tadi, orang tu lalu dekat rumah saya dan beritahu perkara tu.”

“Biadab, manusia biadab.”

“Biarlah dia biadab, asalkan kita tidak jadi macam dia. Saya bersyukur pada Allah…”

“Bersyukur, bersyukur apa?”

“Dia sudah meninggalkan pondok itu. kalau di suruh keluar dengan paksa lain pula jadinya.”

“Begitu,” saya lihat datuk ketawa kecil. Keterangan dari Lebai Din membunuh keraguan dalam diri datuk.

Seperti yang dijanjikan, lepas waktu Zuhur jenazah Haji Salim pun diusung ke tanah perkuburan. Masa di tanah kubur saya terlihat Kamal dan Daud ada di celah-celah orang ramai yang sedang mendengar Pak Imam membaca talkin.

“Mata kamu rabun.”

“Tak, saya nampak tuk.”

“Pandangan kamu saja, semuanya kerana takut.” Suara datuk keras. Saya terus diam.

Bila semuanya sudah selesai. Orang ramai pun meninggalkan tanah kubur. Tetapi, datuk dan Lebai Din masih berdiri di sisi pusara Haji Salim. Wajah mereka muram, mata mereka merah.

“Allah kasihkan dirinya, kerana itu ia dipanggil,” keluh datuk. Lebai Din menarik nafas, matanya tidak berkedip merenung tanah pusara.

“Saya kehilangan kawan,” tambah datuk lagi.

“Saya juga begitu. Susah mahu mencari orang macamnya, penyabar dan bertimbang rasa,” sahut Lebai Din. Serentak datuk dan Lebai Din meninggalkan pusara.

“Tadi, saya rasa laknat tu ada sama,” cara mendadak sahaja Lebai Din memberitahu datuk. Muka datuk segera berubah. Perlahan-lahan ia menarik nafas.